Page 21 - Manifesto_PH_BM
P. 21
Janji 4: Menambah program perumahan mampu milik dan mampu sewa
UMNO dan Barisan Nasional telah gagal dalam usaha menambah bilangan rumah mampu
milik. Janji untuk membina 1 juta rumah mampu milik sebelum tahun 2020 telah
dilupakan dan tidak sampai separuh bilangan tersebut dapat dibina.
Hari ini, betapa ramai rakyat Malaysia, terutama golongan muda, yang tidak mampu
memiliki rumah sendiri. Hasil daripada kegagalan UMNO dan Barisan Nasional
menguruskan perancangan perumahan negara, kini terdapat lebihan bekalan rumah
mahal berharga lebih daripada RM500,000, manakala rumah yang di bawah RM250,000
pula tidak mencukupi. Kami akan memperbetulkan kelemahan ini dengan segera dan
memberi keutamaan kepada projek-projek membina rumah mampu milik.
Kerajaan Pakatan Harapan akan memperluaskan skim sewa milik (rent-to-own) di
seluruh negara. Kami akan mencari kata sepakat dengan bank-bank komersial agar boleh
diwujudkan skim sewa milik dengan pemaju swasta dan juga di pasaran sekunder
(secondary market). Di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, mereka yang
sekarang sedang menyewa akan diberi peluang untuk berhijrah ke skim sewa milik
sekiranya mereka layak.
Salah satu penyumbang utama kepada kenaikan harga rumah yang terlalu tinggi ialah
kesukaran untuk mendapatkan tanah kerana ada beberapa pemaju gergasi, termasuklah
syarikat-syarikat GLC, yang memonopoli tanah untuk membina “landbank”, dan
seterusnya menunggu harga naik tinggi sebelum mula membina. Akibatnya, harga tanah
naik dengan mendadak dan seterusnya meningkatkan harga rumah. Para pemaju kecil
juga tidak dapat memasuki pasaran yang dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar ini.
Kerajaan Pakatan Harapan akan menetapkan satu had masa untuk projek perumahan
disiapkan agar tiada syarikat yang menyimpan tanah perumahan tanpa diusahakan.
Insentif juga akan diberikan kepada pemaju kecil dan sederhana Bumiputera dan bukan
Bumiputera agar mereka boleh bersaing dengan lebih sihat dengan syarikat pemaju
gergasi.
20