Page 19 - Manifesto_PH_BM
P. 19
Janji 3: Berkongsi kekayaan negara secara bersasar
Perkembangan ekonomi Malaysia juga jelas tidak membawa faedah yang sama rata
kepada rakyat. Golongan kaya bertambah kaya tetapi golongan pertengahan dan
bawahan terus tertekan. Umum sedia maklum bahawa peningkatan gaji median di
Malaysia adalah terlalu rendah, dan bilangan pekerja di Malaysia yang mendapat gaji
kurang daripada RM2000 sebulan adalah terlalu ramai. Ini perlu diperbetulkan dengan
segera.
Kekayaan negara kini dibolot dengan rakus oleh beberapa kerat pemimpin politik, isteri,
dan anak-anak mereka. Mereka hidup mewah dan boros, tatkala rakyat sengsara
menanggung kos sara hidup seharian. Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan
kekayaan negara boleh dikongsi bersama oleh warga Bumiputera dan semua rakyat
Malaysia yang pelbagai kaum dan agama, termasuklah golongan yang memerlukan di
kalangan kaum India dan Orang Asal.
Golongan B40 sedang menghadapi kesukaran hidup yang ketara. Golongan M40 juga
berhadapan dengan cabaran yang tidak kurang hebatnya. Kedua-dua kumpulan ini
memerlukan bantuan kerajaan dengan cara dan kadar yang bersasar. Bantuan bersasar
juga akan memastikan bahawa hanya mereka yang layak sahaja mendapat bantuan
kerajaan, manakala golongan yang kaya tidak boleh mengeksploitasi kedudukan mereka
untuk kepentingan sendiri.
Pakatan Harapan berpegang dengan pandangan bahawa pemberian bantuan kerajaan
perlu dilakukan agar tidak ada rakyat yang ketinggalan. Ini menuntut kepada satu
mekanisme yang lebih tersusun yang boleh diwujudkan setelah kita meneliti sistem
jaminan sosial yang wujud di negara-negara lebih maju.
Mereka yang layak menerima BR1M akan terus menerima bantuan dan proses
pembayaran akan dipastikan bebas daripada diskriminasi atau pengaruh politik
kepartian. Kerajaan Pakatan Harapan akan memperbaiki sistem ini agar pengurusan dan
pemberiannya lebih setara.
18