Page 32 - Manifesto_PH_BM
P. 32
Janji 10: Menjamin keperluan makanan asas rakyat dan menjaga kebajikan petani
Bekalan makanan yang terjamin adalah penting untuk kelangsungan hidup rakyat. Stok
makanan asas yang mencukupi, serta kebolehan untuk mengeluarkan produk makanan
asas dalam negara, akan menjamin bahawa bekalan makanan kita tidak akan terancam.
UMNO dan Barisan Nasional terlalu ghairah dalam menarik pelabur asing yang hanya
meminati sektor pengilangan dan perkhidmatan, tetapi terlupa betapa pentingnya kita
mempunyai sektor pertanian yang moden, maju, dan produktif. Ini mengancam
keselamatan bekalan makanan (food security) negara.
Kerajaan Pakatan Harapan akan menilai semula Dasar Keselamatan Makanan Negara dan
mewujudkan satu dasar yang lebih baik dengan cara memanfaatkan teknologi pertanian
moden yang terkini. Para petani akan dibantu untuk membolehkan mereka mengakses
teknologi tinggi, terutamanya di sektor penanaman padi, sayuran, bahan mentah, ayam,
daging dan perikanan.
Matlamat kami ialah memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang boleh menjamin
kelangsungan sendiri (self-sufficient) walaupun pada masa krisis.
Strategi ini juga akan memastikan para petani dan peladang kita dapat mempertingkat
pendapatan isi rumah masing-masing, selain membantu dalam menstabilkan harga
barangan keperluan asas kerana kita tidak lagi perlu mengimport terlalu banyak dari luar
negara.
Dalam dua tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan, kami akan memberi penekanan
terhadap makanan ruji utama negara iaitu beras. Pakatan Harapan mengambil maklum
tuntutan Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi Beras Negara dan berjanji akan
membantu pesawah padi seluruh negara dengan matlamat untuk menjadikan industri
padi lebih produktif dan memastikan kebajikan pesawah sentiasa terjaga.
31