Page 9 - Manifesto_PH_BM
P. 9
Lantikan ke jawatan-jawatan tinggi kerajaan dilakukan dengan cara yang menimbulkan
pelbagai persoalan. Dari media hingga ke institusi kehakiman dan perundangan,
sehinggalah ke institusi-institusi pengajian tinggi, semuanya tidak lagi mempunyai
kebebasan atau autonomi untuk berfungsi dengan efektif.
Pandangan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu juga ada yang tidak diendahkan,
malahan ada yang mula dipermainkan.
Akibatnya, Perdana Menteri bermaharajalela tanpa had dan berlaku pemusatan kuasa
berterusan yang tiada penghujungnya.
Hari ini, rakyat tidak lagi menikmati keadilan sosial mahupun keadilan ekonomi.
Kebebasan rakyat untuk bersuara dibataskan oleh pelbagai sekatan. Kebolehan rakyat
untuk membangunkan ekonomi negara diperlahankan oleh birokrasi, monopoli dan
kronisme yang melampau. Malahan ada rakyat yang tidak mampu untuk mendapatkan
perkhidmatan asas seperti pendidikan berkualiti dan perkhidmatan kesihatan yang baik.
Negara pula dibelenggu hutang yang amat tinggi akibat salah tadbir ekonomi dan
kerakusan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Lebih malang lagi, rakyat biasa
terpaksa menanggung pembayaran hutang ini melalui cukai yang pelbagai dan
pemotongan peruntukan kerajaan.
Nikmat pembangunan negara dibolot oleh mereka yang berkuasa, manakala rakyat
terpaksa membanting tulang sehingga ada yang terpaksa melakukan dua pekerjaan
semata-mata untuk hidup.
UMNO dan Barisan Nasional di bawah cengkaman pemimpin sekarang telah membawa
negara ini terlalu jauh menyeleweng daripada wawasan pemimpin terdahulu dan para
pejuang kemerdekaan.
Maruah Malaysia sebagai sebuah negara membangun perlu dikembalikan. Pakatan
Harapan akan mengembalikan kegemilangan negara ini agar kita boleh berdiri semula
dengan megah sebagai sebuah negara yang dikagumi dunia.
8