Page 6 - Manifesto_PH_BM
P. 6
PEMBUKA KATA
Sejak hari keramat 31 Ogos 1957, tatkala Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj
melaungkan “Merdeka!” negara kita telah terbina sebagai sebuah negara yang bertuah
kerana memiliki rakyat yang majmuk iaitu pelbagai kaum dan pelbagai agama.
Atas kesedaran itulah, maka Almarhum Tunku mengisytiharkan dalam Pemasyhuran
Kemerdekaan bahawa negara kita ini “akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka
dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan
mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan
antara segala bangsa.”
Dengan berteraskan semangat ingin menjamin kebebasan, keadilan, kesejahteraan,
kesentosaan dan keamanan itulah, negara kita telah ditadbir oleh para pemimpin
terdahulu yang sentiasa meletakkan kepentingan negara di hadapan.
Sejak era perjuangan kemerdekaan oleh para ulama, golongan nasionalis dan seterusnya
diteruskan oleh pentadbiran Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun
Hussein Onn dan sehinggalah era Tun Dr Mahathir Mohamad, wawasan negara ini adalah
untuk menjadi sebuah negara maju, merdeka dan dihormati di persada dunia.
Kini, tatkala negara sedang dilanda krisis rasuah dan kleptokrasi yang hebat, sehingga
kita terkenal di seluruh dunia sebagai sebuah negara yang penuh dengan skandal,
Pakatan Harapan tampil menawarkan diri untuk menyelamatkan negara dan
mengembalikan Malaysia ke landasan yang seharusnya.
Pakatan Harapan bertekad untuk mengembalikan kegemilangan tanah air kita, iaitu
seperti yang diimpikan oleh rakyat seluruhnya.
Pakatan Harapan bertekad untuk menebus semula maruah rakyat Malaysia yang telah
digadai oleh UMNO dan Barisan Nasional.
5