Page 7 - Manifesto_PH_BM
P. 7
Pakatan Harapan akan membawa Malaysia ke wawasan baru dan seterusnya memacu
Malaysia untuk kembali dikagumi dunia.
Pakatan Harapan akan menghentikan kegagalan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional
membela nasib rakyat yang terpinggir, terutama nasib warga desa, masyarakat India dan
Orang Asal, dan juga mereka dari golongan pertengahan. Perjuangan kami adalah
perjuangan holistik untuk 99 peratus rakyat Malaysia, bukan seperti UMNO dan Barisan
Nasional yang hanya mementingkan 1 peratus kroni mereka sahaja.
Perjuangan Pakatan Harapan adalah untuk menjamin kesejahteraan hidup seluruh
rakyat, tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
Kami akan menghentikan kerosakan institusi-institusi penting negara, dan akan
mengembalikan kedaulatan undang-undang, lantas menjamin kebebasan agensi-agensi
penting dalam kerajaan.
Kami akan melaksanakan strategi serampang dua mata, iaitu membersihkan Malaysia
daripada rasuah dan kleptokrasi serta memacu pertumbuhan ekonomi mapan yang
manfaatnya dikongsi oleh semua dan bukan dibolot oleh mereka yang berkuasa sahaja.
Kami menjanjikan pemimpin yang bersih iaitu pemimpin yang komited dalam
membersihkan negara ini dan yang bertekad untuk membantu golongan yang
memerlukan.
Visi kami ialah sebuah negara yang bersatu padu dalam membela nasib Pribumi dan
rakyat Malaysia pelbagai bangsa, agar pembangunan dan kesejahteraan ekonomi dapat
dikongsi bersama secara adil dan saksama, tanpa dibolot oleh tangan-tangan rakus yang
mengaut kekayaan untuk diri sendiri.
Sudah tiba masanya Pakatan Harapan bersama rakyat untuk menebus maruah bangsa,
membina negara dan memenuhi harapan.
6