Page 116 - Manifesto_PH_BM
P. 116
Janji 57: Menjadikan Malaysia sebuah negara yang dikenali kerana integritinya,
bukan kerana rasuahnya
Kerajaan Pakatan Harapan akan memerangi najis rasuah dengan habis-habisan. Pesalah-
pesalah rasuah akan dihukum dengan tegas. Ini penting agar kita dikenali sebagai negara
yang bersih dan berintegriti dalam indeks-indeks tadbir urus antarabangsa termasuklah
Corruption Perception Index dan Global Corruption Barometer.
Pakatan Harapan akan berikhtiar untuk membersihkan Malaysia dari Najis Rasuah,
bermula dari pimpinan tertinggi kerajaan. Kami bertekad untuk menjadikan Malaysia
antara 10 negara paling bersih mengikut Indeks Persepsi Rasuah, Transparency
International, menjelang tahun 2030.
Kerajaan Pakatan Harapan akan memberikan peruntukan yang sewajarnya kepada
Institut Integriti Malaysia untuk memastikan ia boleh melaksanakan Pelan Integriti
Nasional dengan sepenuhnya. Laporan Pelan Integriti Nasional akan dibentangkan dan
dibahaskan di Parlimen setiap tahun.
Institut Integriti Malaysia akan diberikan mandat yang lebih luas untuk menerapkan
integriti dalam pentadbiran kerajaan dengan lebih bersepadu dan seterusnya
mengharumkan nama Malaysia di mata dunia. Untuk membolehkan Institut ini
memainkan peranan yang sewajarnya, Timbalan Perdana Menteri akan mengambil alih
peranan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Institut.
115