Page 86 - Manifesto_PH_BM
P. 86
Janji 39: Mengimbangi pembangunan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar
Pembangunan Malaysia kini berjalan tanpa mengambil kira kelestarian alam sekitar. Laut
ditambak sehingga memberi kesan kepada habitat ikan walaupun tanah yang ada masih
banyak. Perlombongan diluluskan sehingga seluruh kawasan tertentu menjadi merah
dengan pencemaran debu. Pembalakan diberi lesen sehingga kawasan tadahan air
menjadi gondol, lantas menyebabkan banjir teruk. Empangan dibina sehingga hutan
tropika warisan zaman beserta pelbagai spesis haiwan menjadi terancam.
UMNO dan Barisan Nasional tidak mengendahkan kelestarian flora dan fauna yang
mengindahkan bumi kita selama ini. Sebaliknya, UMNO dan Barisan Nasional tunduk
kepada syarikat besar dan kapitalis kroni mereka. Kebajikan rakyat dan kesinambungan
alam sekitar bukan perkiraan utama mereka.
Kerajaan Pakatan Harapan akan mentadbir negara bertuah ini dengan berpaksikan
prinsip kelestarian dan pembangunan mapan yang mesra alam.
Dasar dan peraturan alam sekitar akan dikaji semula supaya setaraf dengan Amalan Baik
Antarabangsa (International Best Practices).
Semua projek-projek pembangunan mestilah mematuhi piawaian perlindungan alam
sekitar antarabangsa sebelum diberikan kelulusan. Projek-projek kontroversial yang
telah diluluskan atau yang sedang berjalan akan diperiksa semula untuk memastikan
semuanya mematuhi piawaian yang ditetapkan.
Kuota pembalakan akan dikuatkuasakan dengan tegas untuk memastikan hutan negara
kita boleh dipulihara. Pada waktu yang sama, Kerajaan Pakatan Harapan akan
memperkemas dan melaksanakan sepenuhnya peraturan-peraturan untuk melindungi
hidupan laut, hidupan liar dan alam semula jadi, serta mengambil tindakan yang tegas
terhadap pemburu dan pembalak haram.
Kerajaan Pakatan Harapan menyokong Agenda Pembangunan Lestari (Sustainable
Development Goals, SDG) yang dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
85